Ahad, 27 September 2009

CABARAN KEBAJIKAN SOSIAL

JADIKAN KEBAJIKAN
NILAI BUDAYA SEJAGAT


KEBAJIKAN adalah sebahagian daripada budaya hidup sejagat. Hakikat ini adalah berikutan daripada nilai hidup bersama yang menjadi pegangan manusia sebagai makhluk sosial. Secara alami, manusia memang memerlukan untuk hidup bersama manusia yang lain. Dengan demikian atas dasar itulah manusia dengan rela membantu manusia lain dalam urusan penghidupan seharian. Dengan yang demikian manusia juga akan merasa mesra dan senang dengan adanya kegiatan yang membolehkan mereka bekerja bersama-sama, saling bantu-membantu dan tolong-menolong. Hasilnya manusia hidup dalam suasana berbaik-baik sesama mereka.


Hal yang sedemikian itulah yang dipanggil sebagai kebajikan. Oleh kerana istilah kebajikan ini terlalu lumrah, istilah sedemikian tidak lagi dirasakan penting dalam nilai hidup manusia yang serba moden. Kini seolah-olah berlaku perubahan nilai dalam masyarakat. Perubahan ini ketara sekali dalam pemahaman orang ramai dan masyarakat bahawa kebajikan merupakan bentuk bantuan oleh pihak yang lebih mampu kepada pihak yang kurang mampu. Umpamanya, bantuan kepada fakir miskin, anak yatim, orang tua, orang kurang upaya, orang cacat dan juga orang sakit yang memerlukan perbelanjaan besar.


Sebenarnya, konsep kebajikan adalah menyeluruh dan merangkumi seluruh maksud kerja yang baik. Kerja baik itu terhad kepada menujukan sesuatu kerja itu kepada orang yang lemah dan yang memerlukan sahaja. Kebajikan adalah untuk semua bagi dijadikan alat untuk membentuk masyarakat penyayang, prihatin, mesra dan masyarakat padu.
Dengan perkataan lain kebajikan adalah nilai yang sepatutnya ada pada diri individu mahkluk sosial. Nilai inilah yang sepatutnya mengikat tatahidup bermasyarakat dan bernegara. Masyarakat yang berpegang pada nilai ini akan menyanjung budaya baik iaitu budaya pemurah dan budaya penyanyang yang menjadi nilai teras kebajikan.
Nilai dan budaya sedemikian mesti bertapak dalam diri, bukan di luar diri seseorang. Andainya nilai tersebut wujud hanya di luar diri individu dan tidak pada dirinya maka apa yang berlaku ialah terbentuknya masyarakat individualistik yang jauh daripada budaya kebajikan. Tidak ada ahli masyarakat yang bersedia menghulurkan bantuan kepada saudaranya, walaupun dalam kesusahan.


Oleh itu, perlu diwujudkan badan atau institusi khas yang menjaga hal kebajikan, seperti yang telah ditubuhkan oleh kerajaan dalam negara kita ini. Namun usaha mengelinga kebajikan ini tidaklah hanya diserahkan bulat-bulat kepada pihak kerajaan sahaja. Badan-badan bukan kerajaan atau apa yang dipanggil sebagai NGO atau badan-badan akar umbi hendaklah mengambil inisiatif untuk menyahut cabaran dan seruan seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk NGO mengorak langkah menyediakan sebarang perancangan bagi mengelinga kebajikan mereka yang memerlukan bantuan.
Konsep kebajikan sebenarnya bukan sahaja menuntut yang kaya dan berada sahaja menyumbang, tetapi yang miskin dan kurang mampu turut menjadi penyumbang. Masing-masing berlumba-lumba untuk menyumbang dalam skop kemampuan dirinya sebagai anggota masyarakat. Dalam Islam, umat Islam diseru supaya berlumba-lumba melaksanakan kebajikan yang diistilahkan sebagai Al-Khayrat (orang baik-baik-baik)Masyarakat Islam yang awal membuktikan bahawa amalan sistem jaminan sosial Islam dengan program kebajikan mantap. Konsep persaudaraan yang diatur dan dibentuk oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam cukup berkesan sehingga berjaya melahirkan barisan hartawan yang pemurah dan masyarakat awam yang prihatin. Prinsip zakat, sedekah, sumbangan, hutang ihsan, hutang berjamin dan gadaian merupakan sistem jaminan sosial yang menyemarakkan semangat dan budaya kebajikan dalam masyarakat.


Pada masa yang sama mereka yang menerima bantuan janganlah terlalu bersandar kepada bantuan-bantuan berkenaan sahaja. Sekurang-kurangnya mereka yang masih berupaya (able bodied) hendaklah mencari dan berikhtiar untuk tidak terus bersandar kepada bantuan kebajikan sahaja. Perkara ini menjadi kebimbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di mana baginda bertitah sampai bila keadaan berkenaan akan berhenti?


Secara umum bantuan-bantuan yang diberikan adalah berorientasikan pembasmian kemiskinan dan kurang menekankan kepada program pembangunan rakyat atau manusia. Dengan mengambil kira penekanan pembangunan manusia, perspektif bantuan terhadap kelompok berkenaan perlu dikaji semula. Perspektif bantuan mengakibatkan berlakunya pergantungan yang berterusan kepada bantuan. Kelompok miskin dan yang memerlukan akan menjadi pasif dan tidak kuat untuk berusaha. Sekiranya perspektif ini tidak diubah, akan wujud hubungan imbal balik yang erat antara kemiskinan dengan bantuan. Akibatnya kelompok miskin sentiasa berharap dan bergantung pada bantuan. Mereka terus pasif dan tidak dapat mengubah taraf penghidupan mereka.


Perspektif inilah yang perlu diubah. Penekanan harus diberikan bahawa bantuan, terutama bagi memenuhi keperluan asas tidak akan diberi selama-lamanya. Mereka perlulah berusaha sendiri kerana sumber negara terhad. Sekiranya mereka terus berada dalam perspektif sentiasa memerlukan bantuan, apa akan terjadi sekiranya negara kehabisan sumber untuk membantu mereka? Di sinilah letaknya kepentingan pembangunan manusia yang tidak hanya berupaya menyediakan mereka dengan keperluan industrialisasi, tetapi mengubah mentaliti ketergantungan mereka kepada bantuan kerajaan semata-mata. Pembangunan manusia merupakan bantuan jangka panjang bagi kelompok miskin dan yang memerlukan serta dapat mengikis perspektif konservatif.
Oleh itu, perspektif bantuan yang menekankan 'keperluan manusia' dianggap lebih tepat dan berkesan daripada perspektif yang hanya menekankan 'bantuan keperluan biasa' yang diperlukan oleh kelompok berkenaan. Antara misal kepada program bantuan keperluan manusia adalah seperti menyediakan peluang latihan kemahiran, peluang pekerjaan yang labih baik, peluang perniagaan kecil-kecilan kerta kursus-kursus kepimpinan dan motivasi. Bantuan ini lebih daripada hanya berbentuk makanan, pakaian dan tempat tinggal, ia seharusnyalah berbagai-bagai dan bersesuaian dalam konteks pembangunan manusia.


Strategi bantuan yang hanya berbentuk kebendaan dan untuk jangka pendek kurang berkesan. Sebaliknya, bantuan hendaklah difokuskan kepada pembangunan manusia, termasuk menyediakan pelbagai kegiatan untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran, kesihatan serta persekitaran fizikal yang bersih dan selamat. Setiap individu yang miskin dan memerlukan bantuan harus mempunyai peluang sepenuhnya untuk menyertai kegiatan di peringkat masyarakat, terutama dalam membuat keputusan. Mereka hendaklah diberi peluang menikmati kebebasan kemanusiaan, ekonomi dan politik melalui pendekatan yang berperancangan.Oleh itu, bantuan yang sewajarnya seperti bantuan berbentuk pembangunan manusia patut difikirkan bersama. Sekiranya mereka yang miskin dan memerlukan bantuan tidak diberi pendedahan latihan dan kemahiran yang diperlukan, mereka tidak akan dapat ikut serta dalam pasaran ekonomi dan buruh. Dengan sebab itu, untuk meningkatkan keberkesanan pembangunan manusia, fokus utama bantuan adalah terhadap pembangunan manusia. Melalui kekuatan pembangunan manusia, kelompok miskin dan memerlukan bantuan akan mampu diserapkan serta mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan ekonomi, di samping dapat menambah pendapatan dan meningkatkan taraf hidup mereka.


Seperti mana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini, pihak NGO bolehlah memikirkan untuk bertolak daripada fokus 'pembangunan manusia' dalam usaha mereka untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan bantuan. Langkah ini adalah satu langkah bijak dan bermanfaat, di samping ia adalah langkah yang berkesinambungan.


Sebenarnya perjuangan bagi meningkatkan kebajikan tidak seharusnya diletakkan pada bahu kerajaan. Peranan yang lebih luas yang melibatkan semua pihak, terutama NGO perlu ditingkatkan supaya masalah sosial dapat diatasi dan ditangani dengan berkesan. Ngo perlu mengambil tanggungjawab utama bagi memperbaiki dan memperjuangkan kebajikan masyarakat, di samping membanteras pelbagai masalah sosial. Lebih banyak pertubuhan kebajikan dan amal perlu diwujudkan bagi membantu masyarakat mengatasi dan meningkatkan taraf kebajikan. Kegiatan kebajikan dan amal merupakan kegiatan sukarela yang membolehkan jasa bakti dicurahkan bagi membantu golongan yang kurang upaya dan golongan tertentu yang memerlukan bantuan dan sokongan. Bantuan dan amal kebajikan yang dicurahkan itu akan dapat mengurangkan kesusahan dan penderitaan pihak tertentu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan