Selasa, 1 September 2009

Isu-isu pil khayal

Kes Pertama:

SeRu BiDADARI


KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi dengan segelintir pelajar sekolah menengah apabila wang saku diberikan ibu bapa sebaliknya dibazirkan mereka untuk membeli pil ubat batuk Nospan atau turut dikenali dengan jolokan ‘pil mimpi’ atau ‘pil palang empat’ kononnya untuk menyeru bidadari atau alam syurga dalam khayalan. Pil terbabit yang boleh dibeli dengan harga semurah 50 sen sebiji dikatakan berupaya menyebabkan pelajar yang memakannya khayal dalam imaginasi selain didatangi bisikan suara halus menyeronokkan sehingga lapan jam tanpa henti.

Sindrom baru ini semakin membimbangkan apabila kebanyakan pelajar yang ketagih pil terbabit perlu menelannya sekurang-kurangnya 10 biji sehari bagi mendapatkan kesan khayal diperlukan sebelum ia meningkat kepada 30 biji pil selepas beberapa bulan kemudian.
Kebimbangan berhubung penyalahgunaan pil terbabit yang sepatutnya digunakan untuk merawat penyakit batuk semakin menakutkan apabila pil berkenaan mudah dibeli di kedai ubat berlesen selain turut dijual sindiket tertentu.Ketagihan pil terbabit yang turut dikenali dengan nama saintifik Dextromethorphan dianggap berbahaya apabila ia bukan sahaja menyebabkan kerosakan saraf otak kekal, malah boleh menyebabkan mangsa mengalami sakit mental dan kurang siuman.Malah, di Barat, pil terbabit cenderung menyebabkan remaja belasan tahun bertindak nekad membunuh diri selepas dihantui halusinasi melampau daripada pil berkenaan.


Wartawan Harian Metro yang menjalankan siasatan berhubung kes penagihan pil Nospan mendapati ramai pelajar terutama di sekitar Lembah Klang, terdedah dengan penyalahgunaan pil berkenaan berikutan ia mudah dibeli tanpa kawalan.Malah, beberapa pelajar sekolah menengah yang ditemui mengakui pernah mencuba atau setidak-tidaknya mendengar nama pil terbabit yang terkenal di kalangan pelajar sekolah berikutan harganya murah dan mudah didapati di beberapa kedai ubat.Seorang pelajar sekolah menengah di Sentul yang hanya mahu dikenali sebagai Fahmi, 16, memberitahu dia pernah mencuba pil terbabit yang dipanggil dengan jolokan ‘pil putih’.Menurutnya, pada peringkat awal, dia hanya mencuba memakan tiga pil bersama minuman bergas untuk tujuan suka-suka selepas dipujuk rakan yang memberitahu kesan ajaib bakal dirasa.“Saya berkurung dalam bilik tidur dan menelan pil terbabit, tidak sampai 30 minit, kepala saya mula khayal dan pandangan mata saya jadi berwarna-warni. Ketika itu apa sahaja yang terlintas di fikiran akan muncul dalam pandangan mata.“Kalau saya bayangkan rakan perempuan sekelas saya yang cantik, maka dia akan muncul dalam khayalan. Nampak macam betul-betul wujud,” katanya yang mengaku masih ketagih pil itu sejak tiga bulan lalu.Menurutnya, ada antara rakannya ketagih hingga sanggup menelan sehingga 20 biji pil Nospan sehari selepas jumlah kecil pil itu kurang memberi kesan khayal diharapkan.


Seorang lagi remaja yang kemaruk dengan pil Nospan terbabit mendakwa pil itu turut menjadi pilihan popular pelajar yang mengalami putus cinta atau masalah peribadi yang sukar dibendung.Dia yang dikenali sebagai Boy, 17, mendakwa menghabiskan sekitar RM2 sehari untuk membeli pil terbabit diperoleh daripada wang saku diberi ibu bapa setiap hari.“Tapi saya tak makan setiap hari, cuma bila nak rasa seronok atau nak ‘jumpa’ artis kegemaran, barulah saya makan pil ini,” katanya yang tinggal di Kampung Baru, di sini.Menurutnya, pil terbabit sebelum ini boleh dibeli pada harga sekitar 30 sen namun harga pil Nospan itu semakin mahal apabila menjangkau 60 sen sebiji kini.Susulan maklumat dan nombor telefon pembekal diperoleh wartawan Harian Metro bertindak mendapatkan alamat sebelum meninjau lokasi kedai ubat berkenaan yang didakwa menjual pil Nospan secara borong kepada ‘orang tengah’ dan pelajar sekolah yang menjadi pembeli tetap.Difahamkan kedai terbabit yang mula beroperasi pada jam 10 pagi mula dikunjungi pelajar sekolah terutama ketika pulang dari sekolah sekitar jam 1.30 tengah hari. “Ada antara kami yang mula mengetahui pil ini selepas berkenalan dengan beberapa pelajar dari Sarawak melalui laman web yang lebih arif mengenai pil berkenaan. Apa yang saya tahu ramai kenalan saya di Friendster tahu keistimewaan pil ini,” katanya. Ditanya sama ada dia mengetahui pil terbabit boleh menyebabkannya menjadi gila dan sesak nafas sehingga menyebabkan kematian, pelajar tingkatan lima itu mendakwa hanya merasa kesan sakit perut dan muntah akibat memakan pil itu.


“Seorang rakan sekelas saya terpaksa mengambil sehingga 20 biji pil terbabit dalam sehari kerana ketagihan menyebabkan dia sering hilang pertimbangan dan mudah hilang ingatan.“Dia mendakwa memakan pil terbabit setiap hari sejak beberapa bulan lalu untuk mendapat keseronokan dan mengimpikan gadis cantik dalam khayalan.“Bagaimanapun rakan saya itu kini terpaksa dirujuk kepada doktor pakar selepas mengadu sering diganggu suara halus tanpa mengira masa,” katanya.Berdasarkan siasatan lanjut, pelajar terbabit mendakwa mendapat bekalan pil berkenaan daripada rakan-rakan di Seremban yang membeli pil itu dari sebuah kedai ubat di bandar berdekatan.Susulan maklumat dan nombor telefon pembekal diperolehi, wartawan Harian Metro bertindak mendapatkan alamat sebelum meninjau lokasi kedai ubat berkenaan yang didakwa menjual pil Nospan secara borong kepada ‘orang tengah’ dan pelajar sekolah yang menjadi pembeli tetap.Difahamkan kedai terbabit yang mula beroperasi pada jam 10 pagi mula dikunjungi pelajar sekolah terutama ketika pulang dari sekolah sekitar jam 1.30 tengah hari.



Kes Kedua:

Operasi mengejut di disko-- Polis dapati 205 pengunjung positif menagih pil khayal ecstasy



KUALA LUMPUR 29 April _ Operasi yang dilancarkan oleh polis di sebuah disko di Sri Damansara di sini, awal pagi ini, membawa hasil mengejutkan apabila 205 orang pengunjungnya didapati positif menagih pil khayal ecstasy. Dipercayai inilah jumlah terbesar mereka yang disahkan menggunakan pil tersebut dalam satu operasi polis setakat ini - melibatkan hanya sebuah pusat hiburan.

Dalam operasi mencegah ecstasy yang bermula pukul 3.30 pagi hingga pukul 10 pagi ini, kira-kira 900 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu 652 orang telah dibawa ke Balai Polis Damansara untuk ujian air kencing. Jurucakap polis dari bahagian narkotik daerah Petaling Jaya memberitahu, setakat pemeriksaan dari pukul 8 pagi hingga 11 malam ini, terdapat 205 orang didapati positif menagih pil tersebut. Beliau menjangkakan jumlah mereka yang positif menagih pil itu dijangka bertambah kerana lebih 100 orang lagi pengunjung disko itu masih belum menjalani ujian air kencing.

``Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati 205 orang adalah positif mengambil Methylene dioxy methaphetamine (MDP) iaitu terdiri daripada 128 wanita dan 77 lelaki.
``Kita akan mengetahui keputusan ujian air kencing itu lewat malam ini apabila ujian air kencing dibuat ke atas lebih 100 orang lagi,'' katanya ketika ditemui di sini, lewat petang ini.
Operasi mencegah ecstasy di disko itu pagi ini melibatkan 50 pegawai dan anggota polis dari bahagian narkotik daerah Petaling Jaya.

Operasi yang diketuai sendiri oleh Ketua Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Deputi Supritendan Mohd. Shahrizan Che Mat Din, adalah ekoran aduan orang ramai mengenai kegiatan pengambilan ecstasy secara berleluasa oleh pengunjung disko berkenaan.
Menurut jurucakap polis itu lagi, ketika serbuan dilakukan pasukan tersebut mendapati kira-kira 30 biji pil dipercayai ecstasy berselerak di lantai disko itu. Beliau berkata, daripada 652 orang yang ditahan itu, seramai 15 adalah wanita Thailand dan kira-kira 30 orang lagi wanita Indonesia yang memasuki negara ini secara sah tetapi dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO). Rata-rata mereka yang ditahan berusia antara 18 tahun dan awal 40-an.

Polis turut menahan seorang wanita bersama seorang anak perempuannya yang masih belajar dan bawah umur. Hasil pemeriksaan didapati kedua-duanya positif ecstasy,'' katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, semua mereka yang positif ecstasy itu telah dibebaskan dengan ikat jamin. Tetapi kes mereka akan dirujuk kepada Pendakwa Raya Shah Alam jika ujian air kencing kali kedua di hospital nanti menunjukkan hasil positif,'' jelasnya. Mereka yang positif, katanya, boleh didakwa di bawah Seksyen 15 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Tambahnya, polis akan terus menggerakkan operasi mencegah ecstasy secara berterusan dari semasa ke semasa. Sementara itu, orang ramai kebanyakannya ibu bapa memenuhi sekitar Balai Polis Damansara sejak pagi hingga malam ini bagi menjamin anggota keluarga mereka dan rakan yang ditahan. Keadaan itu menyebabkan suasana hingar bingar dan sebahagian mereka seakan `berkampung' termasuk makan dan minum di situ sementara menanti perkembangan pemeriksaan ke atas anak-anak mereka yang ditahan.

``Kita mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai,'' kata jurucakap polis itu lagi.
Gerakan memerangi penagihan pil ecstasy semakin mendapat perhatian pihak berkuasa ekoran kempen besar-besaran yang dilancarkan oleh parti MCA pada tahun lalu untuk menyelamatkan muda-mudi keturunan Cina yang banyak terbabit dalam gejala penagihan pil khayal itu.
Berdasarkan laporan polis, penglibatan remaja Melayu dalam gejala itu kebelakangan semakin membimbangkan terutama di bandar-bandar besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan